Program j-Qaf pelajar khas dilaksana
Posted by
j-qaf at Monday, May 4, 2009
|
Share this post:
|
0 Comments
KEMENTERIAN Pelajaran akan memperluas pelaksanaan Program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) untuk pelajar istimewa ke sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK), mulai Julai depan.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Pendidikan Khas), Azizah Abd Gani, berkata pelaksanaan rintis itu membabitkan tiga daripada 28 SKPK sedia ada di seluruh negara.
Katanya, sekolah berkenaan ialah SKPK Alma, Pulau Pinang; SKPK Princess Elizabeth, Johor dan SKPK Kuching, Sarawak, membabitkan kira-kira 30 pelajar Tahun Satu yang bermasalah penglihatan.
Ketika ini, beliau berkata, program j-QAF pendidikan khas itu hanya diikuti pelajar bermasalah pembelajaran yang menjalani program integrasi di sekolah aliran perdana.
“Apabila program j-QAF pendidikan khas diperkenalkan pada tahun lalu, tumpuan peringkat permulaan diberikan kepada pelajar bermasalah pembelajaran dalam program integrasi di sekolah aliran perdana.
“Pelaksanaan untuk pelajar bermasalah penglihatan dan pendengaran agak sukar. Dalam konteks ini, pelajar bermasalah penglihatan perlu menggunakan al-Quran braille.
“Bagaimanapun, kita masih mengkaji pembinaan modul atau kaedah paling sesuai untuk membantu pelajar bermasalah pendengaran mempelajari bacaan al-Quran menerusi program j-QAF pada masa depan,” kepada Berita Harian di Putrajaya.
Justeru, melalui pelaksanaan rintis ke SKPK, beliau berkata, pihaknya akan meneliti pendekatan spesifik serta terbaik. Pada masa sama turut bekerjasama dan mengadakan perbincangan berterusan dengan pihak berkaitan, termasuk Jabatan Pendidikan Islam dan Moral serta pakar bidang berkenaan.
Azizah berkata, perancangan pihaknya ialah memperluas pelaksanaan program j-QAF pendidikan khas ke SKPK untuk kedua-dua pelajar bermasalah itu mulai tahun depan.
“Matlamat kita ialah kira-kira 12,000 pelajar pendidikan khas kategori bermasalah pembelajaran, bermasalah penglihatan dan pendengaran dalam program integrasi dan juga di SKPK seluruh negara dapat mengikuti program ini menjelang 2014.
“Pelaksanaan rintis program j-QAF pendidikan khas pada tahun lalu hanya meliputi 100 pelajar tahap satu dalam program integrasi di 12 sekolah aliran perdana, sebelum diperluas kepada 18 lagi sekolah tahun ini membabitkan keseluruhan kira-kira 300 pelajar,” katanya.
Beliau berkata, pelajar istimewa yang mengikuti program berkenaan hanya tertumpu kepada pembelajaran bacaan al-Quran menggunakan kaedah Iqra’ serta amali solat.
Azizah berkata, beliau mengambil inisiatif dengan kerjasama pegawai Jabatan Pendidikan Khas untuk turut mendedahkan program j-QAF kepada pelajar istimewa kerana berpendirian kepentingan pendidikan agama perlu diberi penekanan.
Sumber: Buletin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM

About
Contact









